Ahad, 24 Februari 2013

Gelisah tak menentu


Pernah tak hati merasa gelisah sepanjang hari? Pernah tak merasa tidak senang duduk, seperti ada yang tidak kena atau pun belum lunas. Tapi masih, tetap kita tidak tahu kenapa kita boleh merasa begitu?
Atau kadang-kadang, kita tahu kenapa kita rasa resah begitu. Dan kita sendiri membuat andaian, itu mungkin teguran daripada ALLAh atas apa yang telah kita perbuatkan. Sama ada yang kita sengaja dan menyembunyikannnya dari keramaian, atau yang kita terlepas pandang lalu ALLAh bukakan hijab hati kita?
Saya pasti. Mesti pernah, kan. Saya pun pernah juga.
Kadang-kadang rasa resah itu sehingga menimbulkan rasa debar dihati. Memang suatu rasa yang langsung tidak menenangkan. Kemuncaknya adalah apabila kita mahu merebahkan diri di pembaringan, dan debaran resah itu kita dapat rasai dengan jelas.
Hati Resah Itu Tanda Isyarat
Selalunya dan kadang-kadang hati itu resah disebabkan dosa-dosa yang dilakukan.
Bersyukur jika hati kita masih merasa gelisah sejurus selepas melakukan dosa dan kemaksiatan yang terzahir dan tersembunyi. Sebab itu adalah tanda bahawa hati kita ini masih hidup dan masih memiliki rasa seorang Muslim yang takutkan azab ALLAh dan memang merasa tidak senang akan kemaksiatan.
Itu salah satu isyarat. Isyarat bahawa hati itu masih cenderung pada fitrahnya yang bersih dan sedaya tidak menerima kekotoran, lalu menjadi gelisah; kerana mahu memohon ampun dari-Nya!
Kemaksiatan itu boleh terjadi dengan banyak cara. Hatta duduk di hadapan laptop saja sudah boleh mengundang banyak dosa dari pahala. Akhirnya nanti, mahukah kita menjadi orang yang tercelah? Maka, tanya diri sendiri.
Pasti hati itu akan menjawab dengan jujur atas setiap perbuatan.
ALLAh Yang Maha Berkuasa, punya banyak cara untuk menegur para hamba-Nya yang melakukan kesalahan besar dan kecil. Salah satunya, melalui resah hati.
Tapi, tidak semua manusia yang mengalami keresahan hati itu, cukup membuatkan dirinya meninggalkan apa yang dilakukannya; yakni yang mengundang dosa, resah dan gelisah. Maka jangan hairan jika ada manusia yang tetap bertahan dengan hati yang sentiasa resah. Yang akhirnya, hati yang resah itu memberikan kesan dalam hidupnya sehingga kehidupan sebenarnya menjadi serabut.
Manusia memang kebanyakannya degil kan? Hatta kepada ALLAh Ta’ala sendiri.
*tertunduksendiri*
Teguran Yang Menundukkan Manusia
Ada waktu, ALLAh akan berikan teguran yang agak keras. Percaya?
Kadang-kadang ALLAh Ta’ala menegur para hamba-Nya dengan suatu teguran yang menyakitkan. Dan dengan teguran itu kita terhenyak, terjelepok dan sedar. Mungkin dengan cara ALLAh Ta’ala memberikan dugaan dengan sesama manusia yang membuka mata hati. Atau boleh jadi, mungkin ALLAh Ta’ala membuat manusia gagal dalam sesuatu perkara yang dilakukan. MashaAllah!
Pun begitu, bersyukurlah kepada-Nya, bila hati kecil yang dinodai ini masih dapat merasakan peringatan dari ALLAh Ta’ala dengan sesuatu keadaan yang sangat memukul hati. Dan dengan cara itu, kita menjadi seorang hamba yang tertunduk pada keagungan ALLAh Ta’ala. Lalu rasa kerdil menyerap dalam hati di hadapan ALLAh.
Jiwa Yang Mahu Dekat Kepada Rabbnya
Kawan-kawan.. Pernah merasa begini?
Merasa sedih tanpa alasan yang kita sendiri kabur mengenainya, kurang pasti kenapakah kesedihan yang bertandang dihati lalu sangat menyengat itu terjadi tanpa asbab yang kita kurang tahu atau pun tidak tahu. Atau pun merasa asing di tengah keramaian, ketika bersama keluarga dan rakan-rakan? Atau merasa bosan walhal hidup dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang sedia ada?
Kadang-kadang semua itu terjadi kerana jauhnya jiwa kita dari ALLAh.
Sungguh.
Kita ini, kadang-kadang terlepas pandang dan menyandarkan jiwa kita pada kebendaan yang wujud di hadapan. Menyandarkan rasa kebahagiaan kita kepada manusia tanpa mengembalikan rasa bahagia itu kepada ALLAh untuk memautkan jiwa yang kerdil ini kepada-Nya. Sebab itu, jiwa sering kali merasa kosong, gelisah, sedih yang kita sendiri tidak tahu asbabnya. Padahal, sebenarnya tautan jiwa kita dengan ALLAh Ta’ala makin goyah kerana lalai dengan nikmat dunia.
Apa yang mahu diketengahkan di sini adalah, ketenangan hati dan kebahagiaan jiwa itu akan ada jika manusia itu berusaha untuk sentiasa memperbaiki hubungannya dengan ALLAh Ta’ala. Dengan itu, inshaAllah jiwa menjadi tenang. Sebab, sumber ketenangan itu datangnya dari Dia.
Maka, mana mungkin Dia Yang Maha Pengasih tidak mengurniakan ketenangan dan kebahagiaan kepada hamba-Nya yang berusaha di atas nama-Nya, aite?
Pssst! Sahabat, kadang-kadang kita megah dengan perbuatan kita.
Tapi yang sebenarnya, hati kita sedang menangis sengsara, kan.
Kita mungkin boleh menipu manusia dengan topeng ceria dan kegembiraan kita yang terpapar di wajah. Tapi kita sesekali tidak akan dapat menipu diri sendiri. Sebab, diri sendirilah yang merasa sakit dan nikmatnya keadaan yang ALLAh Ta’ala berikan.
Hati itu ALLAh Ta’ala yang ciptakan,
jika hati itu semakin jauh dari Dia,
apakah kamu akan menyangka ia akan tenang seadanya,
sedangkan sumber ketenangannya berada jauh darinya.
Bawalah diri menunduk kepada kebesaran Tuhan,
bawalah hati untuk diserahkan kepada Tuhan.
Semoga ALLAh merahmati.

Khamis, 7 Februari 2013

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.




Keterangan/Hujah: 
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:


من تشبه بقوم فهو منهم     

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
                                                                                                                                             ( Riwayat Abu Daud)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
                                                                                                                                       (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.